Far Ai's

Portfolio

Andai saja pergi itu mudah...

Leave a Comment

Let it hurt. Then let it go.



     Sejujurnya aku masih berada di beranda yang sama. Tersekat di antara berdiam diri atau pergi. Sejujurnya aku masih membonekakan diri. Lagak diri seolah bisa semua, tiada apa yang aku lalui. Satu demi satu langkah terus aku susun walau berpijak di atas kaca. Terus membiarkan parut yang sama tetap dilukai. Walau aku tahu kesudahan cerita ini, aku tetap memilih untuk terus membuta. 

    Aku tahu tentang apa yang ada di hujung episod ini. Aku jelas tentang pemergian itu bisa membuat aku lebih tampak hidup dan temui bahagia yang dicari. Tapi sejujurnya, aku masih membiarkan diri terperangkap di jerat halusinasi. Yang pada asalnya aku cipta dengan penuh rasa cinta, lantas sekelip mata mereka cantas tanpa belas. Aku masih aku. Yang tetap mengendong harapan yang sama. Harapan bahawa di alam ini aku bakal temui cahaya yang diimpi. Walau aku tahu hakikatnya cahaya itu telah lama mati.

    Aku terlampau takut untuk mengorak langkah. Aku takut tentang apa yang bakal terjadi. Lalu aku memilih untuk terus disini. Membiarkan diri terus dilukai. Membiarkan jasad terus disakiti. Aku tahu aku pentingkan diri. Aku masih tercari-cari dimana pintu untuk pergi. Tapi jujur, aku tetap tidak temui. Aku buntu. Aku pusing. Aku rungsing.

    Ketahuilah tiada siapa yang mahu terperangkap dalam perasaan sendiri. Cinta yang aku usaha semai hari demi hari pada akhirnya memakan diri. Dan sehingga hari ini, pintu itu tetap tidak aku ditemui. Tiada apa yang lebih aku harapkan, melainkan sebatas diri ini bisa terus terbang bebas mengibas sayap disemestaNya. Tanpa perlu menoleh lagi melihat perit dan sakit yang berbekas.

Moga hari itu bakal tiba dan teruntuk itu,

Ya Allah permudahkanlah urusanku.

09012021. 1046 hrs
El-Mujahida. 

Previous PostOlder Post Home

0 comments:

Post a Comment